MANADO, Sulawesi Utara 15 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan berhubung krisis politik di Perak dan baginda juga bukan punca kemelut politik di negeri itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Azlan memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar setelah mengambil kira Barisan Nasional (BN) negeri itu memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan itu, kata Perdana Menteri, dibuat selepas menilai surat perakuan majoriti anggota DUN yang menyatakan sokongan kepada BN.
''Mengikut sistem demokrasi di negara ini, rakyat memilih wakil rakyat dan sultan di negeri-negeri akan melantik calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti dalam DUN untuk menjadi Menteri Besar,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, di sini hari ini.
Najib mengulas kritikan-kritikan pembangkang yang menyalahkan Sultan Perak berikutan krisis politik di negeri itu serta menuduh baginda menjadi punca kepada kemelut politik di Perak yang kini sudah berlarutan lebih tiga bulan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa Sultan Azlan menggunakan prosedur yang sama melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, selepas pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum 2008.
''Jadi jangan salahkan Tuanku. Baginda (Sultan Perak) menggunakan kaedah dan prinsip yang sama ketika melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru dan tindakan Tuanku (Sultan Perak) itu tidak boleh dianggap melanggar Perlembagaan,'' katanya.
Beliau berkata, ketika pakatan pembangkang menang majoriti kerusi DUN Perak selepas pilihan raya umum lalu, ia pun bukanlah gabungan parti yang berdaftar.
Atas kedudukan itu, sekiranya Sultan Perak hendak melantik semula Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, beliau boleh berbuat demikian kerana BN adalah parti tunggal berdaftar yang mendapat majoriti kerusi di DUN Perak pada masa itu.
'' Tetapi atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang di negeri itu (Perak), Tuanku sebaliknya mendapatkan surat perakuan mereka dan melantik Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar," katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan pelantikan Zambry melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak serta sistem demokrasi di negara ini.
''Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan, seperti yang mereka lakukan di DUN Perak sekarang. Siapa suruh gantung Menteri Besar dan Exco BN daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Perak.
''Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen," katanya.
Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian juga boleh diumpamakan seperti BN yang mempunyai majoriti kerusi di Parlimen bertindak menggantung 20 anggota Parlimen pembangkang jika BN mahu.
'' Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila sesebuah parti mempunyai majoriti, Speaker boleh gantung enam anggota parti itu. Jika begitulah keadaannya, kita (BN) pun boleh gantung enam orang anggota mereka (pembangkang) di Parlimen," tambah beliau.
Najib juga menafikan beliau menjadi punca kemelut politik di Perak dan harus bertanggungjawab atas tindakannya kerana terbabit 'merampas kuasa' kerajaan negeri Perak pada awal Februari lalu.
''Apabila tiga anggota DUN pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan pakatan pembangkang dan menyokong BN, sehingga dia (Mohammad Nizar) turut hilang kepercayaan. Sayakah yang bertanggungjawab?'' tanya beliau.
Perdana Menteri turut mengulas mengenai lompat parti, sambil menjelaskan bahawa ia dibenarkan oleh undang-undang dan ia pernah berlaku di negara lain, termasuk di negara maju.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill pernah beberapa kali berpindah parti dan baru-baru ini seorang senator daripada Parti Republikan di Amerika Syarikat berpindah ke Parti Demokrat.
Beliau menjelaskan bahawa BN tidak merampas kuasa kerajaan negeri di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan