Sabtu, 2 Mei 2009

Tazkirah


Ustaz Zainudin Hashim
Thu | Apr 30, 09 | 4:46:32 pm MYT

Kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipilih khusus oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul terakhir, adalah untuk membawa agama yang benar daripada Allah serta memelihara nama baiknya daripada tercemar. Justeru baginda melakukan yang terbaik bagi memastikan kesinambungan nama baik Islam terus berada pada tahap dan keadaan yang sempurna.

Iklan

Dalam Sirah baginda, jelas menunjukkan bahawa baginda sedaya upaya menjernihkan Islam daripada angkara keceluparan mulut, tindakan atau perbuatan yang boleh merudumkan nama baik Islam seperti tidak berakhlak mulia di hadapan bukan Islam, sedangkan ketika bersama sesama Islam baginda berbuat baik dengan mereka. Baginda tidak memakai pakaian yang boleh menjatuhkan imejnya bukan sahaja sebagai seorang Nabi, tetapi sebagai seorang Muslim yang mempratikkan Islam.

Contoh mengenainya terlalu banyak berdasarkan Sirah baginda mendaulatkan Islam selama 23 tahun yang tercatat dalam sejarah tamadun Islam. Ia dapat dilihat bagaimana baginda menunjukkan sikap positif terhadap semua bangsa manusia, tidak kira sama ada mereka golongan sahabatnya, bukan Islam atau musuh-musuh Islam yang terkenal pada masa itu dengan golongan 'munafiqin' atau 'Zindiq' yang berpura-pura menerima Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.

Jabir bin Abdullah antara sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis pernah berkata: "Ketika baginda membahagikan harta rampasan perang (ghanimah) bani Hawazin di kalangan orang ramai di Jaaranah, maka seorang lelaki daripada bani Tamim bangun lalu berkata: 'Wahai Rasulullah! Bahagikan ghanimah itu dengan adil', maka baginda s.a.w. pun memarahinya sambil menegaskan; jika Muhammad tidak berlaku adil, maka siapa yang lebih adil daripada aku? Jika aku tidak berlaku adil sudah tentu ramai orang termasuk engkau juga tidak mendapat keadilan sewajarnya, mereka semua akan rugi."

Saiydina Umar bin al-Khattab pun bangun lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Biarkan aku saja yang membunuh lelaki ini? Nabi bersabda: 'Aku berlindung daripada Allah supaya tidak akan ada umat yang akan berkata bahawa Muhammad membunuh sahabatnya', Rasulullah pun menambah: "Sesungguhnya lelaki berkenaan dan sahabatku juga adalah mereka yang membaca al-Quran, cuma mungkin tidak memahaminya dengan baik." - Hadis sohih riwayat Imam Ahmad dan Imam Bukhari

Dalam satu peristiwa lain, satu daripada para sahabat ada menyaksikan beberapa individu di Madinah melakukan perbuatan sumbang, iaitu memburuk-burukkan nama baik negara yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang dikenali dengan pentadbiran berasaskan 'Piagam yang adil' atau Piagam Madinah. Maka baginda memanggil para pembesar sahabat yang menjawat jawatan menteri dan penasihat negara, supaya bertindak ke atas mereka dengan pelaksanaan undang-undang (ta'zir) yang setimpal dengan perbuatan mereka, akan tetapi baginda berpesan supaya mengelak daripada cemuhan manusia yang mungkin akan berkata bahawa Muhammad membunuh para sahabatnya.

Begitu juga dalam mengukuhkan hubungan dengan para pembesar negara-negara dunia ketika itu, terdapat daripada mereka yang bukan Islam, baginda amat menitik-beratkan pendekatan 'Robbaniyyah/ketuhanan' ketika berurusan dengan mereka. Perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 58 surah al-Anfal yang bermaksud: "Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat."

Demikian juga dengan para sahabat baginda Rasulullah s.a.w., di mana setiap individu daripada mereka amat mementingkan penjagaan nama baik agama Islam, sehingga tidak terdapat seorang pun daripada mereka melakukan tindakan, perbuatan atau keceluparan mulut mereka yang boleh merosakkan nama baik, sama ada dari sudut penmapilan diri, hubungan sesama manusia, mentadbir negara, dalam peperangan, semuanya dilakukan berdasarkan ajaran baginda Rasulullah s.a.w. agar Islam sentiasa dipandang mulia.

Adakah umat hari ini menjaga nama baik Islam?

Islam bukanlah hak untuk orang-orang terdahulu daripada kita semata-mata, atau untuk sesuatu bangsa tertentu, tetapi ia adalah hak mutlak kepada semua mereka yang beragama Islam tanpa mengira asal-usul keturunan, kedudukan, pangkat, jantina atau warganegara. Justeru setiap individu Muslim baik lelaki atau perempuan bertanggungjawab untuk memelihara dengan semaksimum mungkin.

Persoalannya di sini, benarkah kita selaku umat Islam yang ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. sejak 14 abad lalu menuruti jejak langkah yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita, yang paling penting kita menunjukkan segala pusaka ilmu yang diwariskan kepada kita dapat dibuktikan dengan sebaik-baiknya.

Itulah yang dikehendaki oleh Islam daripada kita, namun terdapat individu yang menconteng arang ke arah Islam dengan melakukan tindakan, perbuatan, perkataan yang berbaur penghinaan terhadap Islam, sekali gus merosakkan nama baik Islam pada mata bukan Islam.

Ia dapat dilihat bagaimana umat Islam hari tidak menjaga Islam hingga sanggup terlibat dalam memberi dan menerima rasuah, lebih buruk lagi istilah itu digantikan dengan politik wang. Ada yang terlibat dengan pembunuhan kejam hingga meletupkan jasad mangsa bagi menghilangkan bahan bukti, tidak kurang juga yang merompak, merogol lalu membakar mangsanya, meragut, menderhaka terhadap kedua-dua ibu bapa hingga sanggup membawa kes ibu kandung ke mahkamah dan banyak lagi.

Tidakkah mereka terfikr bahawa tindakan bodoh mereka itu sebenarnya telah mengaibkan Islam pada mata bukan Islam, apakah mereka (non-Muslim) terdorong untuk menerima dan memeluk Islam jika melihat tindak-tanduk umat Islam yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.

Apakah penglibatan remaja-remaja dalam program-program realiti hari ini mencerminkan mereka sebagai orang Islam? Kalau tidak keterlaluan untuk disebut di sini program Akademi Fantasia yang mendedahkan percampuran bebas peserta lelaki dan wanita dalam sebuah banglo yang mendapat tunjuk ajar daripada guru-guru yang bebas bersalam antara satu sama lain, berpeluk seolah-olah macam saudara kandung sendiri. Apakah penampilan mereka itu direstui baginda Rasulullah s.a.w. apatah lagi ia berlangsung pada bulan 'Maulidur Rasul' dan 'Bulan Dakwah' peringkat kebangsaan.

Dan banyak lagi perbuatan, tindakan, perkataan umat hari ini yang tidak selari dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kesemua itu berlaku akibat membelakangkan pendekatan baginda Rasulullah s.a.w. menerusi Sirahnya yang tidak lagi dianggap penting oleh umat hari ini. Sama-samalah kita fikirkan, kerana setiap diri akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat kelak. - lanh _


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

K-Charge ( local made)RM 250

K-Charge ( local made)RM 250
berminat boleh hubungi saya 019-5451712